Ada Rindu -1


Mejaku agak bersepah sejak dinaikkan pangkat. Ada beberapa agreement yang perlu aku semak. Mana dengan report tahunan untuk suku tahun kedua. Itupun Coach suruh aku buat. Tak boleh buat sendiri ke macam bos-bos yang lain? Bukan nak mengeluh, tapi tak terkejar aku dibuatnya.

“Namapun naik pangkat. Kenalah buat!”

Pandai pula aku menjawab bila Huzairi melahirkan rasa kasihannya suatu hari.

“Macam terpaksa je…” Pandai juga dia membaca hati aku. Aku tersengih. Bapa dua anak ni memang pandai ‘membaca’ minda orang. Akupun tabik! Atau sebenarnya dia suka observe aku?

“Macam ni sampai bila-bilalah tak ada boyfriend.” Eheh! Laju je dia buat rumusan. Kenaikan pangkat tak sampai pun sebulan, terus dia buat kesimpulan?

“Mati ke kalau takde boyfriend?” Sengaja aku membakar situasi. Aku agak sensitif dengan isu itu. Huzairi pun satu. Sudah gaharu cendana pula. Dah tahu tapi sengaja berlakon, innocent konon! Lelaki itu tersengih dengan sindiranku. Usik la lagi...

“Tak la mati, tapi....... rugi!”

Hah? Rugi? Tak pernah dengar pun? Dapat tolak dosa dan bala adalah!

“Bukannya kena ada berdozen pun, cukuplah sorang buat teman. Mula-mula kawan, lepas tu…” Aku mencebik. Kawan yang seorang ni tak sah kalau tak usik aku. Mentang-mentanglah aku masih sendiri.

Sedang asyik mengemas, aku terjumpa sekeping poskad lama. Poskad dari Rafiq! Lama aku tidak menyebut nama itu. Sudah dua tahun. Tulisan dalam poskad masih lagi aku pegang. Pendorong aku sampai kini. Lama aku tenung kad itu. Membacanya berulang kali.

“Dari boyfriend ke?” Tanya Huzairi. Aku menggelengkan kepala. Kalaulah!

”Sumber inspirasi saja.”Jawabku. Kisah lalu, usah dibuka cerita. Bukankah aku yang meninggalkan hubungan itu? Tiba-tiba batukku datang lagi. Sudah sebulan aku begini. Huzairi menggeleng kepala. Aku cuba senyum dalam kepayahan. Bukan tidak mahu menerima rawatan. Kerjaku lebih penting. Aku kembali merenung poskad itu. Berulang kali membacanya sehingga tingkahku ditegur Huzairi yang duduk di sebelahku.

“Apa yang special sangat tentang poskad tu? I tengok dari tadi you asyik baca benda yang sama.” Tak sangka dia akan perasan kerana selalunya kami sibuk menyiapkan tugasan masing-masing.

“You intip I ya, Huzz?” Terperangkap, aku cuba mengelak.

“Dah depan mata, I tengoklah!” Huzairi tersengih membuat aku tersenyum.

“Betul ke?” Tanya Huzairi lagi. “Dari boyfriend, kan?”

Kali ini aku menggelengkan kepala. “Ada-ada aja you ni. Bukanlah!” Tingkahku.

“Kalau bukan macam yang I fikir, macam mana pulak? Kalau orangnya tak istimewa, takkanlah you asyik tilik kad tu. Kan?” Bijak Huzairi memerangkapku.

“Hanya inspirasi.” Jelasku pendek. Harap Huzairi tak bertanya apa-apa lagi. Itu kisah lalu. Malas membuka kenangan dan bercerita tentangnya.

“Lain macam aje bunyinya?” Komen Huzairi lagi. Aku hanya diam membiarkan dia dengan pendapatnya. Cukuplah setakat itu.

“Bukannya luakpun kalau you cerita. You simpan lama-lamapun buat apa. Cerita lama. I suka cerita-cerita macam ni. Nostalgic.” Huzairi belum habis rupanya. Jari-jariku kembali mengetuk keyboard. Malas nak layan.

“Cerita basi Zairi. Buat apa nak tahu.” Berat hatiku untuk berbicara tentang hal ini lagi. Tapi Huzairi seperti tidak mahu faham yang aku tidak suka berkongsi sesuatu yang peribadi dengan rakan sekerja. Walaupun aku tahu, sikap Huzairi yang terbuka dan mudah diajak berbicara.

“Kalau dia special, kenapa break off?” Tersentak dengan soalan itu, jariku berhenti menaip. Begitu tanggapan Huzairi? Dia sudah salah! Aku menarik nafas dalam-dalam, cuba mengingati secebis kenangan yang ada.

I was his junior but he’s already to complete his Bar. But we did not keep in touch anymore.”

Kami diam seketika. Tiba-tiba Huzairi bersuara lagi. Bosankah dia menyiapkan laporannya, asyik bertanya itu ini?

“Hanya dengan bagi dorongan, you boleh ‘tersangkut’? Wow! He must be someone special!” Kata-kata Huzairi sedikit tidak menyenangkan aku.

“Setakat memberi dorongan saja, bukannya ada apa-apapun. Hanya sebagai senior dan junior. Itu saja!” Suaraku tertinggi sedikit. Huzairi terdiam. Tidak mahu menyinggung sesiapa aku sambung bersuara.

“Dahlah. Habiskan kerja awak tu.” Tapi Huzairi semakin seronok.

“So, ini kes bercinta dengan seniorlah ni!” Huzairi memandangku sambil tersenyum nakal.

“Awak ni, suka sangat serkap jarang!” Kataku pura-pura marah.

“Habis, kalau bukan bercinta, apa pula?” Bibirku mengukir senyuman tawar.

“Kami setakat kenalan saja. Tak lebih dari itu.” Ulangku lagi. Tiba-tiba Huzairi bangun dan menyambar poskad itu dari softboard-ku. Aku terkejut dengan aksinya.

“Alah! Belakang office kita saja rumah dia nih!”

Aku menelan liur. Telah lama aku tahu hakikat itu tapi aku hanya mendiamkan diri.

“Rumah dia cuma beberapa kilometer sahaja dari office kita, you tak nak jumpa dia ke? Soalnya bertubi-tubi. Aku semakin rimas. Huzairi menarik kerusinya dan duduk menghadapku.

“Kalau I nak sangat jumpa dia, dulu lagi I dah cari dia. Ini, sekarang? Dah nak masuk 2 tahun! Dia mungkin dah tak ingat saya lagi.” Tegasku. Moga Huzairi faham. Tapi dia semakin tidak faham. Tentulah, kerana aku tidak menceritakan semuanya kepada dia. Fakta-fakta penting seperti…

“We’re just a friend, a pen pal, something like that. We never met, at all.” Aku membuka mulut akhirnya. Dahi jendul Huzairi berkerut.

“Bukan ke dia senior you?”

“Benar. But he’d already left when I enrolled.”

“Then, macam mana you boleh berkenalan pulak? Pelik ni!”

Aku mengeluh. Terasa membuka pekung didada pula. Tak apalah. Sudah terdedah. Simpanpun untuk siapa. Dah luak.

“Are you saying that you kenal dengan senior you through IRC?” Huzairi menebak tanpa duga. Aku sedikit terperanjat dengan soalannya. Begitu cepat dia membaca fikiranku? Aku menggelengkan kepala.

”Dahlah. Habiskan kerja awak tu. Nanti Coach bising. ”

Kalau tak kerana deadline, alamat Huzairi tak duduk diam sibuk nak tanya itu ini, mengalah polis Bukit Aman pula. Haila!

Masuk minggu seterusnya, batukku semakin menjadi-jadi sehingga mengganggu tumpuan kerja. Malah, aku juga sukar tidur kerana batuk pada malam hari. Akhirnya, aku terpaksa juga mengambil cuti kerana menghadiri temujanji dengan Dr Ampi, seorang chest specialist. Huzairi lah orang paling gembira bila aku beritahu tentang appointment aku. Satu kemenangan bagi dia, kalah bagi aku sebab ramalan dia benar. Batuk aku sudah teruk!

Waktu menunggu agak lama. Pesakit ramai. Mana yang walk-in, mana yang dah ada appointment macam aku. Yang straight dari wad pun ada. Naik bosan aku menunggu. Sebab tu la aku malas nak jumpa dia. Sebab aku boring menunggu macam buah durian tak gugur. Dengan masa terbuang, kalau aku duduk saja dipejabat, tentu yang selesai dua tiga perkara. Tak kisahlah kena dengar bebelan Huzairi yang over concern pasal aku.

Puas membaca majalah, aku perhati pula pesakit sekeliling aku. Tapi, yang paling menarik perhatianku ialah seorang lelaki berkerusi roda, duduk dihadapanku. Ada sesuatu tentang wajahnya yang pucat. Sesekali dia terbatuk. Kedengarannya amat menyakitkan. Pergelangan tangan kirinya ada tag pesakit. Tentu pesakit dari wad. Bila pandangan kami bertembung, aku sedikit tergamam. Tanpa sengaja, kami terbatuk serentak. Lama.

Reda batuk, kami saling berpandangan. Belum sempat lelaki itu memberikan reaksi, namaku sudah dipanggil pembantu Dr Ampi.

Kata doktor, bacaan peak flow meter dan keputusan chest X-Ray menunjukkan paru-paruku memang bermasalah. Acute Bronchial Asthma.

“Lain kali jangan ponteng lagi. Patut you datang jumpa I dua bulan lepas. Tengok, sekarang apa sudah jadi?”

Aku kena sound dengan Dr Ampi. Padan muka! Kalau Huzairi dengar ni, tentu dibantainya gelak tergolek. Salah aku juga. Pandai-pandai mengelak appointment sebab tak mahu menunggu macam tadi.

Bila aku keluar, lelaki tadi telah tiada. Rasa aku dia belum jumpa doktor. Jadi kemana dia? Rasa ringan saja mulut ini bertanya pada Karen yang bertugas di kaunter, tapi malulah pulak. Nanti Karen bagi soalan yang aku tak boleh jawab – ‘kenapa you nak tahu?’, macam mana? Depan pesakit-pesakit yang lain, tak ke mencari malu namanya tu.

Aku keluar dari klinik selepas Karen memberitahu yang doktor menasihatkan supaya aku kena admission, untuk monitoring. Kurang-kurang, seminggu memandangkan doktor amat tidak berpuashati dengan laporan pemeriksaan kesihatan aku tadi. Fikiranku terganggu.

Malah, bukan itu sahaja yang mengganggu fikiranku. Lelaki tadi! Aku kenalkah dia? Aku selak helaian lipatan kenangan. Siapakah yang berwajah serupa? Sukar untuk aku mengingati wajah itu apatah lagi namanya. Tapi gerak hati yang kuat mengatakan sebaliknya. Soalnya, kalau aku kenal, siapa pula dia tu?

Bila aku telefon pejabat yang aku kena masuk wad, Murni menjerit.

”Sapa suruh tak jaga betul-betul? Sekarang siapa yang susah? Aku jugak!”

Macam tu ke reaksi seorang kawan? Macamlah dia yang kena masuk wad? Bukannya nak tumpang simpati, tapi mengeluh pula! Aku tahu kalau aku tak ada kat pejabat, siapa lagi kalau bukan Murni yang kena ambil-alih kerja-kerjaku buat sementara waktu. Bukan banyak pun. Dua tiga benda sahaja. The rest, Coach akan ambil alih. Itupun nak bising ke?

”Nanti aku bagitahu Zairi, dengan Coach baik kau cakap sendiri. Appropriate.”

”Tahulah.” cuak pula mengenangkan ketiadaan aku menyusahkan orang lain. Bukan aku nakpun masuk wad ni. Dah doktor yang suruh! Tapi salah aku juga, siapa suruh tak jaga kesihatan betul-betul? Itu baru Murni. Kalau Huzairi, entah ayat apa pula dia nak guna!

But at least, they’re all care about me. Aku tahu sangat!

Dan orang yang paling last tahu, of course, Abah dan Ummi. Macam manalah Along tak bising.

”Kau ni as if bukan adik Along pula. Tak reti-reti ke nak bagitahu Abah dan Ummi awal-awal?” Giliran Along pula ’membelasah’. Dia lagi cuak sebab minggu ni Abah dan Ummi kena ikut dia bercuti di Cameroon Highlands bersama Kak Hani serta ibubapanya. Dah berbulan-bulan planning, takkan nak cancel hanya kerana aku masuk wad! Bukan sakit kronik nak matipun!

”Along enjoy je lah Cameroon tu. Angah bukan sakit nak mati pun.Batuk sikit je.” Kemudian, aku terus terbatuk-batuk kat corong telefon. Lagilah Along angin dengan aku.

”Batuk kat tempat lain tak boleh ke? Dengkilah tu nak kasi Along pekak?!” Jerit Abangku. Aku terkekek ketawa tapi berhenti bila tekak terasa gatal nak batuk semula.

”Serius ni. I am okay. Dr Ampi tu Cuma nak masukkan ubat dan observe. Itu pasal la kena masuk wad. Bukannya apa-apapun. Along bagitau elok-elok tau, nanti Ummi tu, Along tau la dia macam mana....”

Sesiapapun diantara kami faham sangat dengan perangai Ummi yang mudah risau. Dan tua-tua mana boleh risau-risau nanti stress. Darah Ummi naik lagi nanti.

”Pandai-pandailah Along. Ni kan anak kesayangan dia. Sure she will buy!” Sangat berlagak kenyataan Along itu tapi aku tak kisahpun. Anak lelaki tunggal, maklumlah.

Sudah dua hari aku berada di wad Hospital Pantai Bangsar. Hampir aku mati kutu kerana aku tidak betah duduk diam. Asyik teringat kerja-kerja di pejabat. Patut aku bawa bersama komputer riba.

Selesai menerima rawatan dari alat nebulizer, aku keluar berjalan-jalan. Tak sangka, aku bertemu lagi dengan lelaki itu. Dia masih berkerusi roda ditemani komputer riba. Aku berjalan melepasinya yang sedang leka menikmati minuman di Starbuck Cafe, bila namaku tiba-tiba diseru.

”Min?” Dadaku berdegup kencang. Aku berpaling mengadap lelaki itu.

”Min Inayah?” Mata kami bertaup. Aku memandangnya dengan penuh persoalan. Lama aku amati dia. Wajah itu sungguh asing! Tapi ada sesuatu dalam renungannya. Perasaannya seperti dekat dengan perasaanku.

”Rafiq?” Hanya nama itu yang mahu aku sebut ketika ini.

Spontan, wajah lesu itu mengukir senyuman.

No comments:

Post a Comment