I am Sorry - 2

Petang itu juga, Daniel Arif kena panggil ke bilik Cikgu Dolah. Afifi pun. Dan beberapa orang lagi. Heboh satu sesi sekolah petang, anak Pegawai Daerah kena panggil dengan Guru Besar dan Guru Disiplin! Fisya tak tahu berapa das Daniel Arif kena. Tapi bila mereka berselisih di luar bilik guru, Fisya tahu, teruk juga Daniel Arif kena. Cedera parah! Sampaikan Daniel Arif tak nak pandang dia langsung. Straight je mamat tu jalan. Afifipun sama. Dikalih wajahnya, macam jijik nak pandang dia lagi. Fisya ketap gigi. Apa aku dah buat?

Depan Cikgu Dolah, Fisya cerita semua yang Daniel Arif buat. Nakal dia. Kurang ajar dia. Sampai bengkok rotan bulu ayam Cikgu Dolah menahan geram. Dari sesi itu, Fisya dapat tahu, yang Daniel Arif bakal diambil tindakan susulan jika dia mengulangi perbuatannya. Tapi Fisya tak cerita apa yang dia jerit kat budak nakal tu. Agak-agak Cikgu Dolah ada dengar kut? Tapi kalau dia dengar, apsal dia tak ada komen apa-apa? Lantak lah! Janji si Daniel Arif tak kacau aku lagi.

“Kita sekolah agama. Malu saya kat sekolah menengah biasa. Ikutkan kita yang lebih sopan dan beretika. Ini tidak! Perangai mengalahkan sekolah lain. Budak-budak tadika Kemas pun lebih disiplin dari ni…” Petang itu, panjang ceramah Cikgu Dolah kena masuk dalam telinga dan otak Fisya. Macam sindir aku sekali je? Betullah tu. Cikgu Dolah dah dengar ayat power aku tadi. Nasi dah jadi bubur. Terlajak kata, terimalah akibatnya. Tapi yang menanggung bukan aku tapi Daniel Arif. Habis, sapa suruh gatal sakat aku lagi?

Dan petang itu juga Fisya dapat tahu dari Umi, surat tawaran sambung belajar sudah sampai. Amin! Allah makbulkan doa aku!

“Papa malu dengan kamu ni Daniel! Apa nak jadi haa?” Mengamuk juga Encik Ahmad bila terima panggilan dari Guru Besar sekolah Daniel Arif. Anak dia kena warning sebab usik anak dara orang. Tak pernah-pernah dibuatnya dalam keluarga ada masalah di sekolah macam Daniel Arif. Abang kakak Daniel Arif semua rekod first class. Cantek. Baik punya sama ada bidang akedamik mahupun bidang sukan dan ko-ko. Tapi si Daniel Arif ni, boleh pecah rekod!

Bila kena marah, Daniel Arif buat selamba derk. Macam tade apa-apa berlaku. As if kes kena rotan, kena denda isu kecil je. No hal punya! Mama menggeleng bila Daniel Arif boleh menjawab dengan Papa.

“Small matter je Pa. Lan bukan buat benda jahat pun.” Itupun Papa nak heran ke? Setakat usik anak dara orang, bukannya sentuh, pegang, cium atau lebih-lebih pun. Itupun Papa nak takut? Tak faham Daniel Arif. Memang dia tak faham.

Small matter? Ni, muka papa ni mana nak letak? Nama aje anak D.O, tapi tak tahu nak jaga nama baik Papa…”

Daniel Arif mendengus. Nama baik Papa je yang nak jaga. Nama baik anak sendiri, Papa tak peduli pun? Esok, macam mana lah dia nak ke sekolah? Sure dah heboh satu sekolah punya! Kes-kes macam ni, ramai yang jadi reporter. Fisya tentu seronok. Puas lah hati dia. Tak apa kau Fisya! Kau ingat, kau boleh lepas macam tu je lepas kau report macam-macam kat Cikgu Dol Botak tu? Terngiang-ngiang ayat power Fisya yang menjatuhkan maruah lelakinya. Sampai hati kau Fisya!

“Esok, tak payah sekolah. Papa akan tukarkan ke sekolah lain.” Encik Ahmad beri kata putus. Daniel Arif garu kepala yang tak gatal. Pulak dah!

Berita Fisya buat Daniel Arif kena mengadap Cikgu Dolah cepat tersebar ke seluruh Aspuri. Macam virus Melissa. Dari dewan makan sampai ke dalam bilik air. Kat tempat basuh kain pun keluar cerita tu. Fisya rasa macam artis sekejap. Glamor tak pasal-pasal. Macam bagus sangat popular sebab sound anak D.O.

Ada yang suka Fisya layan Daniel Arif macam tu. Sebab dia tu memang hantu bila bab mengusik dan mengenakan orang, terutama budak perempuan. Tapi ada juga yang tak setuju dengan Fisya. Sebab Daniel Arif tu ibarat Justin Bieber di hati mereka. Atau Sam Worthington. Atau Hiro Mizushima mereka dalam cerita Hana Kimi. Peminat-peminat Daniel Arif merangkumi Tingkatan Satu hinggalah ke Tingkatan Enam. Dah namanya anak DO, handsome bergaya, orang kaya, sesuai sangat jadi calon pakwe.

Tapi Fisya tak ambil port tentang hal Daniel Arif dan peminat-peminatnya. So what kalau ramai penyokong? Ada aku kisah?

Akan tetapi, bila Fisya layan Daniel Arif macam tu, tak pasal-pasal dia kena pangkah dengan peminat Daniel Arif. Makin ramailah musuh yang tak dicari. Pada mereka, Fisya memang bodoh dan sombong sebab buat Daniel Arif macam tu. Mereka semua berebutkan Daniel Arif, si Fisya boleh mentah-mentah tolak. Kucing mana boleh tolak ikan? Tapi Fisya bukan kucing. Daniel Arif tu yang bapak kucing. Selalu pandang Fisya macamlah dia ikan! Kena lah dengan gelaran Fishbone dia.

Bila Umi beritahu pasal surat tawaran itu, hati Fisya macam dalam taman. Berbunga-bunga. Dia tak perlu lagi melalui hari-hari memeritkan kena usik dengan Daniel Arif dan sekutunya. Atau kena perlekeh dengan peminat anak DO yang mengalahkan kelab peminat artis! Setidak-tidaknya, dia cuma akan rindukan Sara. Sara seorang je. Betul ke?

Fisya mengeluh. Dia kena minta maaf dengan mamat tu tu, tapi macam mana? Cerita dia dapat offer masuk U pun tak dikongsi dengan sesiapa. Termasuk Sara. Tak tahu macam mana nak bagitahu Sara. Budak tu kecil hati nanti. Merajuk. Tak tahu nak pujuk Sara. Bab memujuk orang ni yang Fisya lemah sekali.

“Kau macam ada masalah.” Tegur Sara lepas waktu study. Fisya sengaja keluar awal sebab nak elakkan cemuhan peminat fanatic Daniel Arif. Bila Fisya geleng, Sara tarik lengannya. Kasar.

“Woi! Sakitlah!”

“Padan muka! Tak nak cerita lagi kat aku!” Wah! Mandat apa Sara ni, main kasar pulak bila orang tak nak bocor rahsia. KGB ke apa minah ni? “Baik kau cerita kat aku!” Dah la main kasar, lepas tu ugut orang pula.

Fisya mencebik. Masalah dia dan Daniel ARif pun belum selesai. Sekarang nak berhadapan dengan Sara pula. Fisya memicit dahinya. Cakap saja, tak apa kut? Kalau tak cakap, lagilah orang tu marah-marah.

“Aku nak berhenti.” Haa? Terangkat kening Sara. Apa hal budak ni? Kena kacau dengan anak D.O sampai nak berhenti sekolah? Takkanlah kut.

“Apa yang kau melalut ni? Ce cerita kat aku…” lagak seorang gangster bila Sara mula singsing lengan baju. Macam nak ajak gaduh, tak tahu dengan siapa. Fisya lihat sahaja aksi Sara.

“Aku…er…Umi aku called semalam. Surat tu dah sampai…”

Surat? Rahang Sara terjatuh. Surat yang dia sendiri harap sangat nak dapat. Tapi tak ada bayang langsung untuknya. Tapi Fisya? Fisya tenung muka Sara yang berubah. Kan dah cakap tadi. Minah ni tentu terasa. Nak cakap apa kat Sara pun dia tak tahu dah. Hilang semua karangan ayat. Blank. Tiba-tiba, Sara berjalan tinggalkan Fisya. Terpinga-pinga Fisya. Dia marah aku ke?

Umi call lagi. Bagitahu nak datang bawa Fisya pulang hari Jumaat. Nak tak nak, dia kena ikut kata Umi. Soal study soal masa depan. Kalau dia tolak, tak tahu bila lagi peluang macam tu nak datang, Kalau Sara jadi dia, Sara pun akan buat keputusan serupa. Jadi dia kena pujuk Sara. Takkan nak blah macam tu saja? Macam nak putus kawan?

“Kau nak tinggalkan aku? Sampai hati..” Sara menahan rasa hati. Sejak dia tahu pasal offer letter yang Fisya terima, dia menjauhkan diri. Merajuk. Tapi sampai bila dia nak macam tu? Fisya tak salah apa-apa pun padanya. Orang baru nak kawan-kawan, dia dah nak blah.

“Aku sambung belajar pun kau nak sedih. Rileks la.” Tak matang jugak si Sara ni. Fisya sentuh bahu Sara. Memautnya mesra.

“Aku jeles lah, aku apply tak dapat. Kau pulak…” Air mata Sara dah bergenang. Fisya rasa nak senyum tapi takut Sara kecik hati. Sentimental juga minah KGB ni.

“Belajar kat mana-mana sama je. Janji kita capai cita-cita..” Fisya cuba jugak pujuk si Sara. Tak best la tengok orang tu sedih. Dapat masuk U bukannya berita sedih.

“Kalau sama, tak payah lah kau pergi. Sini pun best, apa..” Sara pujuk diri sendiri. Dan Fisya. Kalau Fisya tak ada, aku nak geng dengan sapa lagi? Si Thirah tu? Ulat buku tu tak bergaul sangat. Nak kena jadi buku baru Thirah pandang dia dengan dua mata. Takkan aku nak kena putar alam, jadi ulat buku macam Thirah?

“Aku nak sangat masuk situ. Umi sedih kalau aku tolak.” Fisya cuba buat Sara rasional. Masuk bab famili tentu Sara tak boleh nak buat apa-apa. Kuasa veto kan kat tangan famili.

“Aku sedih kau tinggalkan aku. Aku tak ada kawan nanti. Mati kutu lah aku..” Air mata yang bergenang masih ditahan tak kasi tumpah. Save for the best.

“Kalau tak ada geng, kau kawan lah dengan si anak D.O tu. Sure kau boleh jadi kawan baik.” Spontan sahaja keluar dari mulut Fisya. Biarpun hati rasa iri. Kalau iya jadi macam tu, kenapa dia nak iri dengan Sara? Daniel Arif memang tak suka dia. Sebab tu Daniel Arif suka sakat dia. Suka buat dia marah dan sakitkan hati dia. Tapi Daniel Arif tak kacau Sara. Dia tak layan Sara macam dia layan Fisya. Benci benar Daniel Arif dengan dia. Kenapa ya? Apa salah Fisya? Hatinya sayu.

Sara tumbuk bahu Fisya. Apa kes si Fisya nak suruh dia berbaik dengan musuh ketat Fisya? Musuh Fisya musuh dia juga. Takkan nak berpaling tadah?

“Adoii!” Tersentak lamunan Fisya. Hilang wajah smart and sweet anak D.O itu.

“Padan muka! Cakap lagi macam tu.” Muncung itik Sara sudah keluar. Alahai…

Sejak berselisih dengan Daniel Arif di luar bilik Cikgu Dolah tempohari, Fisya tak nampak lagi kelibat mamat tu di mana-mana. Ke mana hilangnya? Nampak Afifi berjalanpun berseorangan. Kalau dia tanya Afifi agak-agak mamat tu beritahu tak?

Dari jauh, Fisya mengekori Afifi. Sara tak ada sebab dia kena tolong Ustazah Ramlah angkat barang di koperasi sekolah. Makin lama Afifi makin mempercepatkan langkahnya. Meninggalkan Fisya terkial-kial cuba menjejaki kawan musuh utamanya. Afifi sedar ke aku ikut dia? Tiba di hujung blok, Fisya tersentak bila Afifi sudah betul-betul berdiri dihadapannya.

“Kau ni, kus semangat aku!”

“Kau apa hal ikut aku?” Renungan Afifi mengeluarkan api, Fisya dapat rasakan bahang dalam suaranya. Masih marah aku lah tu. Fisya cuba senyum. Tenanglah hati.

“Err..aku…aku cari Dani..” Belum apa-apa, Afifi sudah potong ayatnya.

“Apa hal kau carik Dani? Kau dah malukan dia depan semua orang! Kau buat kami kena ngadap si Botak tu, sekarang kau carik dia? Kau nak apa sebenarnya?” Afifi tolak bahu Fisya sampai perempuan itu terdorong ke belakang.

Main kasar ya? Takkan si Fifi ni sampai nak belasah aku kut iya pun! Fisya mengetap gigi. Takut pun ada, buat-buat berani pun ada.

“Aku nak minta maaf.” Sekali lagi Afifi halang dia bersuara. Tangannya diangkat. Mukanya tunduk. Tak ingin pandang muka Fisya yang dah sakitkan hatinya dan hati sahabatnya.

“Aku takkan maafkan kau. Aku tahu Dani pun takkan maafkan kau. Sampai macam tu sekali kau malukan Dani, besar sangat ke dosa dia kat engkau?” Afifi menengking Fisya dengan kuat. Fisya menikus. Tak naklah sampai dia bergaduh besar dengan mamat ni. Orang cuma nak minta maaf, awak marah-marah kita pulak. Fisya buat muka tak percaya.

“Korang ejek-ejek aku tu tak apa pulak? Depan budak-budak lelaki lain, panggil aku macam-macam nama, itu apa pulak?” Baru tegang pada wajah Afifi mengendur. Boleh tahan minah ni? Dia lawan balik! Tapi Fisya tak berhenti di situ je. “Korang perlekeh aku tak apa? Aku jentik korang sikit tak boleh? Sapa dosa dengan sapa ni?” Renung Fisya dengan tajam.

Afifi undur setapak. Nak larikan diri lah tu. Pengecut!

“Wei! Aku tanya Dani pegi mana?” jerit Fisya bila Afifi ala-ala nak buka langkah seribu.

“Dia nak tukar sekolah. Pasal kau lah!” laung Afifi sebelum hilang dari mata Fisya.

Aaa? Daniel Arif nak tukar sekolah? Aku buat Dani tukar sekolah?

Fisya hampir terjelepuk ke lantai.

No comments:

Post a Comment