I am Sorry pt 3

Lauk kurma ayam yang menjadi kegemaran Fisya tidak bersentuh dalam tray makanannya. Pandangannya tertancap pada makanan di depan mata. Sara pelik tengok Fisya diam sejak balik dari kelas petang tadi. Nasi dibelek-beleknya, tapi tak bersuap ke mulut. Kira butir nasi ke? Dia nak tegur waktu lepas kelas tadi tapi Fisya jalanpun tak pandang orang. Tunduk macam nak cium lantai tapi tak cium-cium jugak.

Apa kena minah ni? Itu hari berani tahap tak ingat! Sekarang macam kucing mati bini. Senyap sunyi. Macam Power Puff Girl kena kidnap warna mereka dari Bonzer the Clown. Sunyi sepi. Kena langgar garuda ke apa minah ni?

“Hello?” Panggil Sara. Fisya mendongak. Dan tunduk kembali. Aik? Sara terkebil-kebil.

“Tak nak ayam tu, aku nak!” Usik Sara tapi Fisya tetap buat bodoh. Tak dengar ke minah ni? Sara menjentik jarinya sampai berbunyi depan muka Fisya. Fisya angkat muka. Masamnya kalah belimbing besi. Tajam matanya boleh luka berdarah. Kena sampuk ke minah ni?

“Perempuan! Ko ni apsal?” Sara panas hati. Apa kes tengok aku macam nak telan aku? Tiba-tiba air mata Fisya bergenang. Dia segera melarikan wajah ketempat lain. Sara makin hairan. Apa pasal pulak menangis tetiba ni?

Fisya kesat pipi basah dengan belakang tapak tangan. Sekali. Dua kali. Tiga kali. Lagi sekali. Air mata dia tak mahu berhenti. Akhirnya Fisya bingkas bangun dan beredar sambil berlari-lari anak.

Aik? Kenapa dengan Fisya ni? Sara berdiri. Selera dia hilang lihat Fisya macam tu. Dia jejak langkah Fisya hingga ke bilik. Tak ada? Mana pulak minah ni pergi? Kemudian, Sara terdengar bunyi esakan dari katil atas. Lah! Lepak kat katil aku rupanya.

“Sya! Kenapa ni?” tanya Sara hampir berbisik. Tapi Fisya tak jawab. Dia cuma menangis dan terus menangis tersedu-sedu. Hiba pula Sara rasa tengok Fisya begitu. Aduhai! Siapa pula yang usik hati Fisya ni? Takkan si Daniel Arif lagi? Hari ni batang hidung mamat hantu tu tak kelihatan langsung di mana-mana kawasan sekolah. Malulah tu sampai tak datang sekolah! Lain kali usik lagi si Fisya ni. Baru kau tahu tinggi rendahnya langit.

Tapi kalau bukan Daniel, siapa lagi yang usik hati Fisya? Takkan peminat fanatic Daniel? Atau mungkin Fisya sedih sebab nak berpisah dengannya hujung minggu ni. But then, dia dah beritahu Fisya apa yang dia rasa dan apa yang dia harapkan dari perpisahan mereka. Masa dia cakap tu semua, Fisya tak nampak sedih pun?

Tak sedar bunyi esakan Fisya susut dan hilang tanpa nada. Lah! Sara tepuk dahi. Tidur kat katil aku la pulak?!Sara menggeleng. Dia masih lapar dan mahu sambung makan malamnya usai kelas. Mujur dia sudah tapaukan nasi dengan ayam kurma tadi. Karang tak makan pulak kawan aku ni.

Sara sanggup tunggu sampai Fisya bangun. Kes sampai keluar airmata ni tentu kes berat. Fisya yang dia kenal bukan jenis ratu airmata. Walau teruk mana kena usik dengan budak-budak lelaki satu species dengan Daniel, dia tak pernah lagi tengok Fisya menangis. Ini, sampai tertidur, jadi kes berat ni.

Bila Fisya terkulat-kulat bangun masuk tengah malam, Sara sudah menanti dengan maggi kari rendam air panas dalam bekas Tupperware-nya. Bau kari yang menyentap deria bau nya terus membuat Fisya lapar.

“Dah bangun ke minah?” Sara bertanya sambil “syyrrupp”. Sengaja kasi special effect kat Fisya. Perempuan tu belum makan lagi. Tak lapar ke?

“Laparnya! Nak sikit!” Tanpa disua, Fisya main ambil je bekas Tupperware dari tangan Sara. Dan disuapnya sesudu dua. “Ermm….laparnya..”

Sara geleng kepala. Maggi rendam air panas pun boleh jadi sedap. Lapar gila lah tu.

“Nasi dengan ayam kurma kau ada aku simpan. Kau makanlah nasi. Makan maggi aku pulak!” Sara menjuih. Nak korek rahsia hati minah ni kena psycho dia dulu. Pelan-pelan.

Mereka berdua bersila dilantai tatkala ramai teman-teman sudah lena dalam mimpi. Eloklah, mudah nak buka cerita nanti. Sara perhati Fisya makan. Lapar macam mana sekalipun masih makan pelan-pelan, tak gelojoh macam dia. Kena tunggu Fisya habis makan dulu. Kesian dia. Lepas mereka basuh tangan, gosok gigi dan basuh bekas makanan masing-masing, barulah Fisya rasa it’s about time to tell.

“Sar…kau rasa aku jahat ke?” Tak payah tanya, Fisya akan buka mulut sendiri. Sara sengih. Apa punya soalan lah tengah-tengah malam ni. Sara buat keningnya berkerut. Sengaja. Bagi minah ni rasa bersalah sikit sebab tinggalkan dewan makan, menangis tapi tak cakap kat dia kenapa. Main tidur terus pulak tu!

“Aku jahat ke?” tanya Fisya sekali lagi, bila tengok muka Sara macam kata ‘ya’.

“Kalau jahat tak adanya famili engkau hantar kau sekolah kat sini.” Sara rasa kesian pula. Tak baik dia tipu. Main-main pun Fisya ambil serius gak.

“Pasal Dani…” bibir comel Fisya sebut juga nama itu. Menarik nafas, Sara.

“Rileks lah. Pasal Dani tu, dah dia yang suka kacau engkau. Kalau tak kata macam tu, sampai bila-bila dia kacau nanti…”Kenapa Fisya masih nak fikir pasal Daniel? Daniel tak ada nak fikir pasal Fisya pun. Jangan buang karenlah, cik adik!
“Aku tak patut cakap macam tu kat dia….tak patut. Aku jatuhkan air muka dia depan kawan-kawan dia. Aku jahat, Sar!” Fisya masuk mode sedih dia semula. Aduyai!

No comments:

Post a Comment